Saturday 5 November 2016

Projek RTB RM250 Juta Tangani Banjir Di Kuching, Samarahan Dan Sibu


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) fasa satu bagi kawasan Kuching, Samarahan dan Sibu.

Menterinya, Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan tersebut telah pun diluluskan dan projek-projek berkenaan akan dilaksanakan setelah mendapat maklum balas daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai kawasan mereka yang terjejas dengan banjir.

"Dalam masa dua minggu ini, kita akan mengumpul segala maklumat sebelum membuat penilaian, siasatan dan pelan menyeluruh," katanya lagi sambil menambah, fasa kedua dan ketiga projek RTB tersebut akan menyusul selepas fasa pertama disiapkan.

Junaidi, yang juga Ahli Parlimen Sanbtubong berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Jersi Bola Sepak bagi Pertandingan Piala Yang Berhormat Dr. Hazland Abang Hipni yang di adakan di Pusat Khidmat Parlimen Santubong, Jalan Kulas di sini pada tengahari tadi.


Terdahulu pada sebelah pagi, Junaidi telah mempengerusikan Taklimat Rancangan Tebatan Banjir Bersama JPS Negeri Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Kuching.

Majlis berkenaan juga dihadiri oleh beberapa orang ADUN; ADUN Pantai Damai Dr Haji A Rahman Junaidi, ADUN Demak Laut Dr Haji Hazland Hipni, ADUN Muara Tuang Dato Haji Idris Buang AL-Hajj dan wakil-wakil kawasan DUN yang lain di sebuah hotel di Kuching.

No comments:

Post a Comment