Monday 14 November 2016

Malaysia Serius Dalam Mengurangkan Pemanasan Global - Wan Junaidi


MARRAKECH: Malaysia melaksanakan peranannya dengan bersungguh-sungguh dalam mengurangkan pemanasan global dan merancang untuk mengesahkan Perjanjian Paris berhubung perubahan iklim sebelum akhir tahun ini, kata Menteri sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat ke-22 Persidangan Pihak-pihak ke Forum Mengenai Perubahan Iklim (COP 22) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bandar raya Maghribi ini, berkata sebagai satu daripada 191 penandatangan Perjanjian Paris, Malaysia telah berikrar untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada tahun 2030 berbanding tahap pada 2005.

"Tenaga, proses perindustrian, pertanian, penggunaan tanah, perubahan penggunaan tanah, perhutanan dan bahan buangan adalah antara sektor di bawah skop komitmen dan liputan pengurangan kami," katanya ketika merasmikan Pavilion Malaysia yang julung kali diwujudkan di bawah siri COP.

Pavilion itu berfungsi sebagai platform bagi Malaysia mempamerkan dan menonjolkan pencapaian negara merangkumi aktiviti yang berkaitan dengan pengurangan dalam perubahan iklim selain menunjukkan komitmen ke arah usaha itu.

Persidangan di peringkat pegawai dari semua 191 negara penandatangan Perjanjian Paris bermula minggu lepas manakala mesyuarat peringkat tertinggi selama tiga hari membabitkan menteri bermula esok.

Hampir semua negara anggota mempamerkan projek pembangunan lestari, yang sedang dan bakal dilaksanakan, di bandar raya seperti khemah besar ini.

Wan Junaidi berkata kepelbagaian biologi Malaysia diiktiraf sebagai antara yang paling kaya dan merupakan sebuah daripada 12 negara yang diiktiraf sebagai 'megadiverse' di dunia.

"Pertumbuhan ekonomi kami, yang amat penting bagi kesejahteraan kami, turut memberi tekanan terhadap flora dan fauna kami," kata Wan Junaidi, yang sejak menerajui kementerian itu lebih satu setengah tahun yang lalu, berusaha keras untuk memperkenalkan undang-undang lebih tegas untuk melindungi biodiversiti negara.

Beliau secara konsisten menekankan tentang keperluan untuk meneguhkan usaha pemuliharaan untuk memastikan pembangunan yang seimbang dalam usaha mencapai pertumbuhan hijau dan sumbangan kepada Agenda Pembangunan Lestari global.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Azizan Ahmad berkata pujian harus diberi kepada Wan Junaidi yang berusaha keras untuk mendapatkan kelulusan Kabinet bagi mewujudkan Pavilion sulung Malaysia selepas berlangsungnya 22 mesyuarat COP.

Satu daripada projek yang dipamerkan oleh Malaysia di Pavilion itu ialah Forest City, pembangunan bandar pintar yang terletak di Iskandar Malaysia, Johor, bersebelahan dengan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Forest City, usaha sama antara Country Garden Holdings dan Esplanade Danga 88, dijenamakan sebagai model utama bandar masa depan dan terdiri daripada empat pulau yang direka sebagai destinasi ideal bagi generasi baharu rakyat Malaysia dan warga asing untuk hidup serta bekerja dalam metropolis yang padat serta dilengkapi pelbagai kemudahan sivik, kebudayaan dan rekreasi di dalam landskap tropika yang rimbun.

Forest City dijangka menjana KDNK kira-kira RM197.7 bilion menjelang 2035 atau 7 peratus daripada jumlah KDNK Johor dan mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan, separuh daripadanya pekerja mahir.

Delegasi Malaysia ke COP22 termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Duta Besar Malaysia di Maghribi Datuk Jamal Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment