Wednesday 9 November 2016

Pembangunan Tidak Terkawal Punca Banjir Pulau Pinang


PUTRAJAYA: Banjir kilat di Pulau Pinang baru-baru ini berpunca daripada pembangunan pesat yang tidak terkawal sehingga menyebabkan larian kelodak berlaku ke sistem perparitan dan sungai.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelaksanaan projek-projek tebatan banjir juga tidak akan menjamin kejadian banjir tidak berulang sekiranya pembangunan pesat di kawasan tadahan lembangan sungai tidak dikawal di peringkat punca.

"Pihak kerajaan negeri perlu memastikan program pembangunan di negeri tersebut dilaksanakan secara lestari dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan bukannya menuding kepada Kerajaan Persekutuan apabila berlakunya kejadian banjir," katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, berhubung kejadian pencemaran najis babi di Sungai Giling di Kampung Batu Laut, Sepang, Selangor, Wan Junaidi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam tempoh tiga hari ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Saya sudah arahkan Ketua Pengarah JAS untuk buat siasatan lengkap kerana ia membabitkan penempatan manusia.

"Segala pelan untuk menangani isu itu termasuk memindahkannya (ladang babi) atau melakukan penempatan semula ke tempat lebih jauh hanya boleh ditentukan selepas laporan itu siap, " katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment