Kontraktor yang telah berjaya mendapat projek kerajaan disaran untuk memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan sempurna mengikutkan ekspektasi kerajaan dan rakyat.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, rakyat setempat berharapkan agar projek yang dilaksanakan di kawasan mereka akan memberi manfaat maka jangan mengecewakan mereka.
"Kepada semua kontraktor, saya berpesan jangan hanya berjanji tetapi sebaliknya gagal melaksanakan projek tersebut dalam masa yang telah diberikan," tegas Junaidi lagi.
"Saya juga telah mengarahkan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) untuk memantau sekiranya ada syarikat kontraktor yang gagal menyempurnakan projek dan terus akan menyenaraihitamkan syarikat tersebut dari mendapat projek kerajaan."
Beliau menambah, kita tidak mahu berlaku ketirisan dan penyelewengan kewangan yang boleh menyebabkan kualiti projek rakyat pada tahap yang teruk maka ikutlah spesifikasi pembinaan.
Jelasnya ia penting kerana setiap projek yang diperuntukan kerajaan memberi impak kepada kehidupan rakyat.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian ketika ditemubual pemberita selepas merasmikan Upacara Pecah Tanah Ke Atas Projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) Batang Sadong dan Kerja-Kerja Berkaitan di Pekan Simunjan, Lembangan Batang Sadong pada hari ini.
"Projek pemulihan koridor Sungai Simunjan contohnya haruslah menggunakan bahan-bahan berkualiti bertepatan dengan kos yang diperuntukkan."
Projek pembinaan koridor yang bernilai RM15.5 juta tersebut sepanjang 560 meter itu dijangka siap Mei 2018 nanti.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Hajah Nancy Shukri, ADUN Gedong Datuk Haji Naroden Majais, yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan ADUN Simunjan Awla Dris.